Akibat Diet Tinggi Gula Ke Atas Bayi Dalam Kandungan

"Bila mengandunglah satu-satunya masa boleh makan apa sahaja!"

 Ramai wanita hamil kerap mendengar frasa ini, dan menganggap kehamilan mereka sebagai satu ‘pass percuma’ untuk makan apa sahaja yang diingini. Dengan janin yang sedang membesar dan disebabkan sedang mengidam pelbagai jenis makanan, siapa yang boleh salahkan ibu mengandung?

Walau bagaimanapun, ia sangat penting bagi ibu hamil untuk mengamalkan pemakanan yang sihat, demi diri mereka sendiri dan juga demi bayi dalam kandungan. Salah satu jenis makanan yang kerap diambil oleh wanita hamil adalah gula tambahan; kajian menunjukkan bahawa kebanyakan wanita hamil kerap makan pencuci mulut atau manisan (1), tanpa memahami sepenuhnya kesan yang dibawa oleh gula tambahan. 

RISIKO UNTUK IBU

Ketika hamil, memang biasa untuk mengidam sesetengah makanan dan minuman manis, namun tetap penting bagi ibu-ibu untuk mengawal pemakanan mereka kerana mungkin sesetengah diet akan menpunyai kesan terhadap si ibu dan janin. 

Terdapat juga risiko kesihatan yang dikaitkan dengan pengambilan gula berlebihan, seperti kenaikan berat badan berlebihan, gula darah tinggi (Gestational Diabetis Mellitus) (2) dan tekanan darah tinggi (pre-eclampsia) sewaktu kehamilan (3).

RISIKO UNTUK JANIN

Ketika hamil, apa yang anda makan bukan sahaja memberi kesan kepada diri anda tetapi juga kepada janin. Risiko termasuk kelahiran pra-matang (4) dan berat lahir yang lebih tinggi yang akan mengakibatkan kesulitan kelahiran (5).

Diet dan pemakanan ibu semasa hamil juga boleh membawa kesan jangka panjang kepada si manja; diet tinggi gula boleh menyebabkan kanak-kanak membesar dengan kecenderungan untuk memakan makanan manis (6), dan meningkatkan risiko obesiti (7).

Selain daripada risiko fizikal kanak-kanak, diet ibu hamil  yang mengandungi gula dan lemak yang tinggi mungkin boleh membawa kesan jangka panjang atas kanak-kanak, termasuk gangguan kesihatan mental dan kelakuan (8). Risiko lain termasuk kanak-kanak membesar dengan mengalami alahan asma (9).

MENGENAL JENIS-JENIS GULA TAMBAHAN

Kita harus selalu menghindari penggunaan gula yang berlebihan, di samping mengambil perhatian terhadap pelbagai jenis gula di pasaran: gula semulajadi, yang didapati dalam makanan yang tidak diproses seperti buah-buahan, sayuran, tenusu dan bijirin, dan gula tambahan, adalah gula dan sirap yang telah ditambahkan ke dalam makanan dan minuman semasa pemprosesan atau penyediannya, termasuk gula yang biasa digunakan di rumah. Gula tambahan boleh diketahui dengan nama-nama yang berlainan seperti: 

- Gula Perang

- Pepejal Sirap Jagung

- Dekstrosa

- Fruktosa

- Glukosa

- Pepejal Sirap Glukosa

- Maltosa

- Maltodekstrin

- Gula Putih

Gula tambahan jarang memberikan sebarang nilai nutrisi, dan sebab itulah kita perlu mengekalkan pengambilan gula tambahan ke tahap minimum: menurut garis panduan pemakanan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia (RNI), pengambilan gula tambahan setiap hari tidak seharusnya melebih 10% daripada jumlah pengambilan tenaga kami, atau bersamaan dengan kira-kira 9-12 sudu gula tambahan setiap hari untuk wanita hamil.

Oleh itu, amatlah penting bagi ibu hamil untuk menjaga diet dan pengambilan gula mereka, agar dapat memastikan mereka mendapat dan memberikan yang terbaik, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk perkembangan si manja, dan juga untuk memberikannya masa hadapan yang cerah. 

Rujukan:

(1) ‘Consumption habits of pregnant women and implications for developmental biology’, US National Library of Medicine (Jul 2013): https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3704911/

(2) Ley et al, American Journal of Clinical Nutrition. 2011; 94: 1232-1240. & 

(3) Borgen et al. European Journal of Clinical Nutrition. 2012; 66:920-925.

(4) Englund-Ogge et al. American Journal of Clinical Nutrition (2012). 96; 552-559.

(5) Phelan S et al. Experimental Diabetes Research (2011). 985139:1-9.

(6) Chen et al. American Journal of Clinical Nutrition (2017). 105; 705-713.

(7) Brekke et al. British Journal of Nutrition (2007). 97: 176-181.

(8) ‘Unhealthy Diet During Pregnancy Could Lead to ADHD’, The Journal of Child Psychology and Psychiatry (Aug 2016): http://www.bristol.ac.uk/news/2016/august/unhealthy-diet.html

(9) ‘Maternal intake of sugar during pregnancy and childhood respiratory and atopic outcomes’, European Respiratory Journal 2017: http://erj.ersjournals.com/content/50/1/1700073