Bagi ibu bapa yang mempunyai anak berusia 1 hingga 6 tahun, adakah anda meneliti perkembangan anak secara menyeluruh?
Dan maksud menyeluruh di sini menurut pakar kanak-kanak Dr. Yong Junina Fadzil & Dr Rajini Sarvananthan, selain hanya pada perkembangan minda dan fizikal, sebenarnya ada banyak lagi perkara penting yang ibu ayah perlu peka.
1. Fizikal
2. Persekitaran usus yang baik
3. Daya ketahanan badan
4. Pembelajaran
5. Perkembangan mata
6. Keupayaan untuk Fokus
7. Perkembangan Sosial
8. Perkembangan Emosi
Sekiranya 8 perkara ini ditekankan/diberi tumpuan rapi dalam perkembangan anak barulah boleh dikatakan kanak-kanak sebenarnya membesar dengan sihat dan menyeluruh.
Tidak terkejut jika dikatakan majoriti ibu bapa hanya fokus pada perkembangan intelek dan fizikal saja kerana memang dua perkara itu saja yang ditekankan dalam keibubapaan secara turun temurun.
Jadi di sini kita boleh berkongsi ilmu mengenai perkembangan lain yang perlu diberi perhatian agar anak-anak tidak ketinggalan dalam mencapai perkembangan ideal mengikut peringkat dan usia mereka.
Dalam perkembangan fizikal ini bukan sekadar berat badan dan tinggi yang ideal, ia termasuk juga kemahiran motor halus dan sensori.
Dan apa yang boleh membantu kanak-kanak mencapai perkembangan fizikal yang sihat adalah melalui pemakanan yang seimbang serta aktiviti fizikal harian mereka.
Aktiviti fizikal bermaksud melakukan aktiviti-aktiviti yang menggerakkan anggota badan termasuklah bersenam, berlari, melompat, peluang untuk bergerak dan bermain dengan kanak-kanak lain.
Kanak-kanak cenderung lebih aktif ketika berada di luar rumah dan bukannya ketika berada di dalam rumah.
Aktiviti fizikal menyokong pertumbuhan dan perkembangan yang sihat. Ia membantu membina komposisi badan yang lebih baik, tulang dan otot yang lebih kuat. Ia juga meningkatkan kecergasan kardiovaskular anak. Aktiviti fizikal membantu dalam perkembangan kemahiran motor yang lebih baik dan kemahiran berkonsentrasi serta berfikir.
Penting untuk menyerap nutrien yang dimakan oleh kanak-kanak secara optimum bagi menyokong perkembangan fizikal yang baik.
Usus yang sihat dapat menerima dan mencerna makanan dan menyerap nutrien dengan berkesan. Dalam kajian terbaru menunjukkan bahawa mikrobiota usus kita mempengaruhi sistem ketahanan tubuh – jadi semua ini perlu dalam keadaan baik untuk membantu perkembangan anak yang menyeluruh.
Badan kita menyerap hampir semua nutrisi melalui usus. Maka, anak-anak mendapat nutrisi yang paling banyak daripada makanan yang mereka makan apabila mereka mempunyai persekitaran usus yang baik. Oleh itu, amatlah penting untuk mengekalkan persekitaran usus yang baik untuk menyokong penyerapan nutrien yang optimum.
Dan secara amnya ia bergantung pada mikrobiota kita, ekosistem yang merangkumi puluhan trilion bakteria bermanfaat yang hidup di dalam badan, dan kebanyakannya terdapat di dalam usus.
Jadi apabila mikrobiota sihat, ia dapat mengurangkan keradangan, membantu menjaga lapisan dinding usus yang baik dan meningkatkan sistem ketahanan badan.
Tahukah anda bahawa 70% daripada sistem ketahanan badan kita berada di dalam usus? Oleh sebab itu, persekitaran usus yang baik memainkan peranan penting.
Ibu bapa harus mengambil kira pelbagai faktor yang memainkan peranan dalam ketahanan tubuh yang baik dan kuat untuk melawan segala jenis penyakit yang biasa menjangkiti kanak-kanak.
Keadaan persekitaran usus yang baik tadi berkait rapat dengan daya ketahanan badan kanak-kanak, jadi pengambilan pemakanan seimbang serta pengambilan susu yang sesuai adalah penting.
Susu yang diformulasikan khas untuk membantu menyokong perkembangan kanak-kanak yang menyeluruh perlulah mengandungi nutrien penting yang diperlukan badan iaitu Protein, Kalsium, Zink, Zat besi, Vitamin A, Vitamin D, Vitamin E, Vitamin C, Vitamin B2, Vitamin B6 & B12.
Antara yang paling penting dan sememangnya ibu bapa sentiasa tekankan pada anak-anak. Ia adalah kemahiran kognitif untuk membantu kanak-kanak mempelajari semua benda baru dalam kehidupannya.